Parti Pas yang menjadikan Islam sebagai jenama politiknya menolak keras kerjasama dengan UMNO yang dianggap sekular dan menentang dasar-dasar Islam yang difahami Pas. Pada masa yang sama Pas boleh berkerjasama dengan parti DAP yang ideologi politiknya bertentangan sama sekali dengan Pas. Hanya selepas pilihan raya umum 2008 Pas telah membuka pintu kepada kerjasama dengan parti yang bertentangan sama sekali dengan dasar-dasar Islam Pas.
Bagaimanapun penganalisis politik yang juga penyandang Kerusi Tun Ghafar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Datuk Zainal Kling, semua parti politik Melayu melihat kepentingan bangsa menerusi kerangka yang berbeza. Tetapi beliau mengingatkan Pas supaya tidak terperangkap dengan pendekatan kesederhanaan DAP untuk memikat sokongan Melayu.
“Pas perlu sedar bahawa kaedah yang digunapakai oleh DAP ini mendatangkan konflik kerana cuba menafikan hak orang Melayu yang akhirnya boleh membawa kepada bergaduh pada masa hadapan,”
Bagaimana Datuk melihat isu perpaduan Melayu walaupun berbeza parti?
ZAINAL: Dalam konteks ini yang memisahkan perpaduan orang Melayu hanya melibatkan parti politik sahaja. Tapi orang Melayu secara keseluruhannya tidak begitu. Kalau kita lihat dalam konteks orang awam bila melibatkan agama dan ideologi ia tidak memisahkan orang Melayu secara keseluruhan. Hanya pemimpin-pemimpin politik sahaja yang tidak boleh berbincang sesama mereka. Tetapi jika kita lihat di surau-surau ia tidak kelihatan secara ketara. Terdapat ahli UMNO, Pas dan lain-lain yang masih boleh duduk bersama dan berbincang. Saya ingat kebanyakan surau masih begitu keadaannya maknanya dalam konteks orang awam mereka tidak terlalu teruk dalam soal perpaduan. Memang ada sedikit perpecahan terutama pada peringkat awal selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12) bilamana penyokong Pas dan PKR merasa sedikit hebat selepas mencapai kemenangan. Mereka memang agak menonjolkan diri.
Namun keadaan sekarang tidak lagi begitu. Maknanya di sini dari sudut orang awam perbincangan mengenai orang Melayu masih berlaku dengan tidak terlampau disekat oleh ideologi politik.
Masalahnya sekarang paling ketara di peringkat pemimpin politik serta juga melibatkan media masa termasuklah blog dan portal yang digunakan oleh parti politik untuk membincangkan isu Melayu berdasarkan konsep dan kerangka pemikiran parti tersebut. Jika kita lihat di surau perbincangan mengenai isu Melayu dan politik masih berlaku secara terbuka namun tidaklah sampai bergaduh walaupun mungkin terdapat mereka yang berasa berkecil hati. Oleh itu kita boleh lihat berlaku dua tahap dalam perbincangan isu Melayu yang pertama melibatkan pemimpin dan parti politik Melayu dan kedua melibatkan orang awam dan ini berlaku tanpa halangan.
Apakah ini bermakna parti politik Melayu tidak melihat soal kepentingan bangsa melampaui kepentingan politik?
ZAINAL: Tidak begitu, parti politik ini melihat soal kepentingan bangsa dari kerangka mereka. Maksudnya UMNO melihat soal kepentingan bangsa melalui ideologi mereka dan begitu juga dengan Pas dan PKR. Ia masih melibatkan soal kepentingan dan isu Melayu tetapi berbeza kerangka pemikirannya. Jika kita bertanya kepada orang UMNO mereka akan memberi pandangan dari sudut mereka dan begitu juga yang berlaku bila melibatkan orang Pas dan PKR. Isu pokoknya tetap Melayu namun berlaku perbezaan kerana kerangka pemikiran parti berbeza.
Adakah kita boleh menganggap pepecahan Melayu dari sudut aliran pemikiran?
ZAINAL: Kita boleh katakan di sini berlaku perpecahan dari sudut aliran pemikiran politik Melayu kerana terdapat pelbagai aliran. Ada aliran yang dulu sangat Islamik tetapi sekarang tidak lagi seperti Pas pada umumnya. Ini kerana ia sudah menjadi isu politik maksud saya pemikiran yang menyesuaikan diri dengan gabungan dalam parti pembangkang.
Saya fikir dalam pembangkang percaturannya banyak ditakrifkan oleh pemikiran DAP. Ini kerana mereka mempunyai beberapa kelebihan, pertamanya kerana pemimpin-pemimpin mereka terdidik tinggi dalam undang-undang. Keduanya mereka tidak mementingkan penyertaan massa tetapi tertumpu kepada kelompok yang bijak serta mempunyai pelbagai latar belakang terutama undang-undang. Mereka tidak ubah seperti parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP). Berbeza dengan parti-parti lain yang mementingkan massa seperti Pas, UMNO dan PKR.
Oleh itu dari sudut massa ia dijuarai oleh pihak lain dalam pembangkang tetapi dari sudut pemikiran ia dikuasai oleh DAP. Parti ini memikirkan sesuatu isu itu dari sudut ideologi mereka. Itu sebabnya setiap kali DAP meluahkan pemikiran dan idea mereka ia seolah-olah sudah lengkap. Slogan Malaysian Malaysia misalnya ia lengkap dengan aplikasi, alasan, strategi dan implikasinya. Namun sekarang ia sudah berubah dari Malaysian Malaysia kepada Middle Malaysia yang digubal mengikut kesesuaian keadaan. Ini kerana mereka melihat konsep Malaysian Malaysia ini tidak boleh mempengaruhi golongan Melayu dan Bumiputera.
Apa sebenarnya pemikiran yang cuba diterap oleh DAP yang berada dalam pakatan pembangkang sekarang?
ZAINAL: Sekarang ini mereka bercakap tentang soal kesederhanaan melalui Middle Malaysia. Ini bermaksud DAP senantiasa memikirkan mengenai gagasan, pemikiran, serta bagaimana untuk melaksanakannya. Ini tidak berlaku pada parti lain termasuklah UMNO. Seperti yang dilakukan oleh PAP yang sangat menekankan political education. Mereka memilih kepada gagasan yang dipanggil The Third Way. Ia adalah gagasan yang dicipta oleh Sosial Demokrat yang digagaskan di Eropah oleh orang-orang seperti Tony Blair. Namun ia mula diperkenalkan oleh seorang ahli sosiologi yang bernama Anthony Giddens yang pernah mengajar di London School of Economy (LSE).
Ia menggabungkan gagasan kanan (rightist politic) yang terlalu bergantung kepada pasaran seperti Margaret Thatcher dengan gagasan politik kiri yang sangat bergantung kepada kawalan kerajaan. Maka apabila digabungkan konsep kawalan kerajaan dengan kuasa pasaran, timbullah idea Giddens yang dipanggil The Third Way. Itu yang digunapakai oleh pihak sosialis seperti sosialis demokrat yang terdapat di Jerman, Britain dan banyak lagi yang tidak lagi bergantung kepada konsep seperti Marxist dan komunis
Tiada ulasan:
Catat Ulasan