Ahad, 23 Januari 2011

~ Nasib Melayu Pulau Pinang.. alahaii..

 

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib yang dialami dua pengusaha sektor pelancongan pesisir pantai di Batu Feringghi di sini.

Bulan lalu, premis itu hangus terbakar dan belum pun dapat beroperasi semula, kedua-dua premis itu dirobohkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) hari ini kerana didakwa berniaga secara haram.
Tanpa sebarang notis, penguat kuasa MPPP yang tiba kira-kira pukul 11 pagi bertindak merobohkan beberapa struktur yang baru dibina semula di tapak premis itu setelah mendapat arahan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut.

Salah seorang pemilik premis perniagaan tersebut, Hamid Sultan, 49, berkata, pihak berkenaan sepatutnya memberi notis terlebih dahulu sebelum merobohkan premis tersebut.

"Kalau mahu roboh sekalipun, ikutlah prosedur. Beri notis dan berbincang dahulu dengan kami.
"Ini tidak, mereka terus roboh. Sudahlah terbakar dulu, tiada siapa yang peduli, sekarang mereka (kerajaan DAP Pulau Pinang) buat begini pula. Mereka memang kejam," dakwanya.

Hamid serta seorang lagi pengusaha pelancongan di situ, Melinda Soon Abdullah, 50, hanya mampu melihat premis mereka dirobohkan setelah usaha untuk mengadakan perbincangan ditolak pihak terlibat.

Begitu juga dengan 30 pekerja premis pelancongan itu. Mereka terpaku di hadapan sisa-sisa bangunan berkenaan.
Menurut Hamid, kedua-dua premis pelancongan berkenaan telah beroperasi selama lima tahun dan amat terkenal di kalangan pelancong asing sehingga ia disenaraikan dalam risalah yang diedarkan kepada syarikat pelancongan dalam dan luar negara.

Katanya, setiap bulan mereka juga menerima kunjungan hampir 100,000 pelancong yang kebanyakannya merupakan pelanggan tetap dari luar negara.

"Sepatutnya, dalam keadaan sekarang, kami dibantu untuk membangunkan semula premis ini setelah musnah dalam kebakaran 25 Disember lalu.

"Namun, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Nasib kami bukan sahaja tidak dibela dan dibantu malahan kami diperlakukan seperti ini," katanya.

Sementara itu, menurut Melinda, premis perniagaannya menjalankan perniagaan secara sah selepas kelulusan mengenainya dipersetujui dalam satu mesyuarat antara kerajaan DAP Pulau Pinang dan badan bertindak yang ditubuhkan pengusaha- pengusaha pelancongan di kawasan tersebut.

"Bukan sahaja premis ini malahan di sepanjang pesisir pantai dari Hotel Rasa Sayang sehingga ke Hotel Bayview Beach Resort sejauh lima kilometer, semuanya telah mendapat kelulusan untuk berniaga. Jadi, kenapa mereka merobohkan premis ini," katanya.

Dalam pada itu, dua pelancong asing yang merupakan pelanggan tetap premis itu kesal dengan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang itu. Richard Patrick, 60, dan isterinya, Jackie Honey, 56, dari United Kingdom menyifatkan tindakan tersebut sebagai 'gila' dan tidak sepatutnya berlaku.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan